Lenggong Geopark mengadakan Mesyuarat Penyelarasan GeoFest 2026 pada 15 April 2026 (Selasa) jam 8.30 malam bertempat di Galeri Geopark Lenggong bagi memperincikan perancangan serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang bakal berlangsung tahun hadapan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengurus Lenggong Geopark dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Geopelancongan serta Pengerusi Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan.
Menurut pihak penganjur, mesyuarat berkenaan diadakan bagi memastikan segala aspek pelaksanaan program disusun secara sistematik, terselaras dan mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat serta sektor pelancongan negeri.
GeoFest 2026 merupakan antara inisiatif utama Lenggong Geopark dalam mengetengahkan keunikan warisan geologi, budaya dan biodiversiti kawasan tersebut kepada masyarakat tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Antara pengisian yang dirancang termasuk pameran geologi, eksplorasi tapak warisan, program pendidikan serta pelbagai aktiviti penglibatan komuniti yang dijangka mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran program itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemeliharaan warisan geologi dan kelestarian alam sekitar, di samping merancakkan lagi sektor pelancongan di Lenggong.


