LAWATAN PERKEP PERAK KE GALERI LENGGONG GEOPARK

Lenggong – Lenggong UNESCO Global Geopark berbesar hati menerima kunjungan PERKEP Kontinjen Perak sempena pelaksanaan Program Santai PERKEP ke Lenggong yang menawarkan pengalaman menarik berteraskan alam semula jadi, warisan, budaya dan aktiviti bersama komuniti setempat.

Antara pengisian utama program ialah kunjungan ke Galeri Lenggong Geopark, yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah geologi dan perkembangan kehidupan manusia di Lenggong, termasuk keunikan warisan yang menjadikan kawasan ini diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark.

Lawatan kemudiannya diteruskan ke Muzium Arkeologi Lembah Lenggong, Tapak Impak Meteorit Bukit Bunuh, Masjid Raja, Telaga Biru serta beberapa lokasi tarikan pelancongan lain di sekitar Lenggong.

Para peserta turut berpeluang menikmati keunikan makanan dan budaya tempatan menerusi kunjungan ke Galeri Makanan Tradisional serta menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan tradisional bersama Dapur Warisan Kampung Luat.

Program turut diserikan dengan pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Perak, kunjungan ke Kampung Beng, pengenalan kepada seni batik Lenggong serta lawatan ke Galeri Ikan Pekasam Kiah Lenggong. Pelbagai pengisian tersebut mengetengahkan kepelbagaian produk dan pengalaman pelancongan yang boleh dinikmati di sekitar Lenggong.

Kunjungan ini bukan sahaja memberikan pengalaman santai dan bermakna kepada para peserta, malah turut membuka ruang untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian warisan geologi, arkeologi, budaya dan alam semula jadi yang menjadi aset penting Lenggong.

Lenggong UNESCO Global Geopark merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PERKEP Kontinjen Perak atas kesudian memilih Lenggong sebagai destinasi program. Semoga pengalaman yang diperoleh dapat mencipta kenangan indah, di samping meningkatkan penghargaan terhadap khazanah warisan dan budaya tempatan.

Daripada sejarah bumi kepada warisan kehidupan yang masih diamalkan Lenggong terus menawarkan pengalaman bermakna yang mempertemukan warisan, alam semula jadi dan komuniti.

#LenggongGeopark #UNESCOGlobalGeopark #PERKEPPerak #Geotourism #CulturalHeritage #NaturalHeritage #Lenggong #Perak #SustainableTourism #VisitLenggong

Tinggalkan komen

0.0/5