Jenis Warisan
Tapak Warisan Biologi.
Penerangan
Tasik Raban adalah sebahagian daripada Tasik Chenderoh yang terbentuk oleh Empangan Hidroelektrik Chenderoh pada tahun 1928. Kini, ekosistem tasik air tawar ini telah mencapai tahap matang yang hampir menyerupai sistem tasik semula jadi.
Tasik ini adalah rumah kepada tumbuhan akuatik yang pelbagai termasuk mengkuang (Pandanus helicopus), rumput air (Phragmites australis) dan teratai (Nelumbo nucifera) serta menyokong kehidupan pelbagai spesies ikan air tawar (lebih 20 spesies) seperti loma (Thynnichthys thynnoides), lampam sungai (Puntius schwanenfeldii), tenggalan (Puntius bulu), sebarau (Hampala macrolepidota), jelawat (Leptobarbus hoevenii) dan belida (Chitala chitala).
Kepentingan
Tasik buatan manusia tertua di Malaysia ini berfungsi sebagai lokasi kepelbagaian biologi akuatik tasik, sumber ekonomi tempatan dan aktiviti rekreasi air. Interaksi antara ekologi tasik dan budaya tempatan menunjukkan hubungan harmoni antara alam semula jadi dan aktiviti manusia.
Warisan lain
Tasik Raban merupakan tasik kuno yang pernah terbentuk akibat runtuhan cerun Gunung Hong yang mengempang sungai. Tasik kuno inilah yang menyediakan sekitaran yang sesuai untuk salah satu petempatan manusia pra-sejarah di dunia.




