Jenis Warisan

Stratigrafi dan Sedimentologi.

Nilai

Tapak geowarisan berkepentingan kebangsaan.

Penerangan

Tapak singkapan potongan jalan ini memperlihatkan fasies argilit Formasi Kroh, yang dicirikan oleh batuan berwarna gelap hasil kehadiran mineral sulfida besi dan bahan berkarbon.

Walaupun mengalami metamorfisme gred rendah, batuan ini masih mengekalkan fosil seperti graptolit, trilobit, brakiopod dan briozoa. Batuan ini berasal daripada batu lumpur Zaman Silur yang diendapkan dalam persekitaran laut yang kekurangan oksigen sekitar 443–419 juta tahun dahulu.

Batuan sabak ini kemudiannya mengalami proses metamorfisme pada Zaman Trias Akhir akibat intrusi granit. Tapak ini mewakili bahagian dasar (basal) jenis argilit bagi Formasi Kroh.

Kepentingan

Nilai pendidikan dan saintifik yang tinggi di peringkat kebangsaan kerana ia mewakili batuan sabak pada bahagian dasar (basal) Formasi Kroh.

Warisan lain

Batuan ini mempunyai kaitan geoarkeologi dengan komuniti prasejarah di Lembah Lenggong, di mana ia telah digunakan sebagai alat batu seperti alat pebel unifas dan bifas, dan beliung.