Ipoh, 16 Julai 2026 – Mesyuarat Rangkaian Geopark Malaysia (Malaysian Geopark Network – MGN) telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan dan pelaksanaan program sempena Program Pasca The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, FASc, P.Geol., selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Rangkaian Geopark Malaysia (MGN), dan menghimpunkan wakil-wakil geopark dari seluruh negara bagi memperkukuh kerjasama strategik, berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik dalam usaha memperkasa pembangunan geopark secara mampan di Malaysia.
Turut hadir mewakili Lenggong UNESCO Global Geopark ialah Pengerusinya, Tuan Mohd Fitri Hassan, bersama wakil-wakil badan pengurusan geopark lain. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Lenggong UNESCO Global Geopark dalam memperkukuh jaringan kerjasama di peringkat nasional, di samping menyokong pembangunan geopark yang selaras dengan aspirasi UNESCO.
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai aspek berkaitan persiapan Program Pasca The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 telah dibincangkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang bakal berlangsung di Lenggong UNESCO Global Geopark pada 21 hingga 24 Julai 2026.
Penganjuran program pasca ini merupakan satu penghormatan kepada Lenggong UNESCO Global Geopark sebagai tuan rumah, sekali gus menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara badan pengurusan geopark, ahli akademik, agensi kerajaan serta rakan-rakan strategik. Program ini juga akan menjadi medan untuk mempromosikan keunikan warisan geologi, kepelbagaian biodiversiti, warisan budaya dan kekayaan alam semula jadi Malaysia kepada komuniti geopark antarabangsa.
Diharapkan penganjuran Program Pasca The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 akan terus memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli Rangkaian Geopark Malaysia (MGN), di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan geopark yang lebih lestari, inklusif dan berdaya saing selaras dengan visi serta matlamat UNESCO Global Geoparks.
LenggongUGGp #LenggongUNESCOGlobalGeopark #MalaysianGeoparkNetwork #MGN #GeoFest2026 #Geotourism #UNESCOGlobalGeopark







