Hari Pertama The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 Bermula dengan Sesi Jaringan dan Kerjasama Strategik

📍 Impiana Hotel Ipoh, Perak, Malaysia
📅 21–24 Julai 2026

Ipoh, 21 Julai 2026 – Hari pertama The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026) telah berlangsung dengan jayanya menerusi beberapa pengisian awal yang menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta persediaan bagi persidangan antarabangsa yang menghimpunkan komuniti geopark dari dalam dan luar negara.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta serta persiapan reruai pameran, melibatkan penyertaan delegasi, agensi kerajaan, institusi akademik, organisasi berkaitan dan rakan-rakan strategik yang mengambil bahagian dalam GeoFest 2026.

Pada sebelah petang, para peserta menghadiri Sesi Hi-Tea dan Jaringan (Hi-Tea & Networking Session) yang menyediakan ruang kepada delegasi, rakan kerjasama dan peserta dari pelbagai negara untuk berkenalan, bertukar pandangan serta memperkukuh hubungan profesional dalam bidang geopark, geopelancongan, pemuliharaan dan pembangunan mampan.

Hari pertama diteruskan dengan Mesyuarat Rangkaian Geopark Malaysia (Malaysian Geopark Network – MGN) yang menjadi platform utama bagi membincangkan pelbagai inisiatif strategik ke arah memperkukuh kerjasama antara geopark di Malaysia. Mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada usaha memperkasakan pengurusan geopark secara lestari selaras dengan aspirasi UNESCO Global Geoparks Network (UGGp).

Penganjuran The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 terus membuktikan peranannya sebagai platform antarabangsa yang signifikan dalam memperkukuh kerjasama global, menggalakkan perkongsian ilmu serta mempromosikan pembangunan geopelancongan secara lestari. Pada masa yang sama, persidangan ini turut mengetengahkan keunikan warisan geologi, kepelbagaian biodiversiti, warisan budaya dan khazanah alam semula jadi Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

#GeoFest2026 #LenggongUNESCOGlobalGeopark #Geotourism

Tinggalkan komen

0.0/5