📍 Impiana Hotel Ipoh, Perak, Malaysia
📅 21–24 Julai 2026
Ipoh, 22 Julai 2026 – Hari kedua The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 diteruskan dengan pelbagai pengisian ilmiah yang memfokuskan kepada pembangunan geopelancongan lestari, pemuliharaan geowarisan serta pemerkasaan komuniti sebagai teras utama pembangunan UNESCO Global Geopark.
Program dimulakan dengan ucaptama (keynote address) dan diteruskan dengan beberapa sesi persidangan yang menghimpunkan pengurus geopark, penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan serta peserta dari dalam dan luar negara. Sesi-sesi ini menjadi platform penting untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, hasil penyelidikan serta amalan terbaik dalam memperkukuh pengurusan geopark yang mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain memperkayakan ilmu, persidangan ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memperluaskan jaringan kerjasama strategik, bertukar pandangan serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang pemuliharaan warisan, pendidikan, pembangunan komuniti dan geopelancongan.
Pada sebelah malam, para peserta diraikan dalam Majlis Makan Malam GeoFest 2026, yang diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak. Turut hadir ialah Ahli Ex-Officio Badan Pengurusan Lenggong UNESCO Global Geopark, Tuan Mohamad Fitri bin Hassan, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat, ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis, peserta GeoFest 2026 serta para jemputan.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang mempamerkan keunikan adat resam, seni persembahan dan warisan budaya komuniti pribumi. Persembahan ini bukan sahaja menyerikan majlis, malah mencerminkan tema GeoFest 2026, iaitu “Tracing Toba Ash and Empowering Indigenous Community”, yang menekankan kepentingan memelihara, menghargai dan memperkasakan komuniti Orang Asli sebagai sebahagian daripada elemen penting dalam pembangunan geopark secara lestari.
Penganjuran hari kedua GeoFest 2026 sekali lagi membuktikan komitmen semua pihak dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperluaskan perkongsian ilmu serta mempromosikan nilai-nilai warisan geologi, budaya dan komuniti yang menjadi asas kepada pembangunan UNESCO Global Geopark yang mampan dan berdaya saing.
#Geofest2026 #LenggongUNESCOGlobalGeopark #Geotourism













































































































